KliK-KLIK-KliK

Xkan MelaYu hIlang D DUnia





BARU-BARU ini Kunta Kinte ke New Zealand dan singgah sekejap di Australia. Dalam Kunta Kinte merayau-rayau di pekan Wanganui, New Zealand, Kunta Kinte dengar suara dari dalam sebuah kedai makan menegur: "Melayu ka?"

Bila Kunta Kinte pusing tengok, yang tegur Kunta Kinte tu pun Melayu juga. Nama dia Mason Esa, tuan punya kedai makan halal Asia di Victoria Court, di tengah-tengah bandar Wanganui. 

Asal-usul Mason dari Kluang, Johor dan isteri dia dari Ulu Langat, Selangor. Dengan bantuan anak-anak mereka, pasangan suami isteri Melayu ini dah agak lama buka kedai makan.
Mula-mula Mason berniaga ikan. Lepas itu dia berpakat dengan enam, tujuh orang warga tempatan buka pekan sehari. Dia jual ikan dan isteri dia jual kuih-muih Malaysia. Untuk tambah pendapatan, dia buka Pusat Peperiksaan lengkap dengan komputer dan peralatan persidangan video (video confrencing).

Di pusat itu, doktor atau sesiapa saja yang hendak duduki peperiksaan luar boleh ambil ujian dan peperiksaan dengan diawasi oleh Mason. Mereka boleh berhubung dengan pemeriksa di tempat lain dan di luar New Zealand melalui persidangan video.

Kata Mason, bukanlah senang merantau dan cari makan di tempat orang. Tapi kalau kerja kuat, pandai sesuaikan diri, sabar dan berani rezeki ada di mana-mana. Sekarang dia dah jadi pemastautin tetap New Zealand, dah beli rumah dan anak-anak dia pun dah cakap macam orang Kiwi.

Kalau kedai orang putih buka dari jam sembilan pagi sampai lima petang pada hari minggu dan sampai jam 12 tengah hari pada hari Sabtu, kedai Mason buka tujuh hari seminggu dari pukul 8.30 pagi sampai 10 malam.
Memang macam itu. Kaum perantau, khasnya dari Asia, lebih kuat dan tekun kerja daripada orang tempatan. Nampak-nampak macam di negara kita jugalah. Orang Malaysia asyik nak cuti, nak rehat dan kerap curi tulang. Tapi orang Indonesia, Bangladesh, India, China, Myanmar dan macam-macam lagi mereka kerja kuat cari duit. Tak hairanlah kalau peniaga kita kalah bila orang asing curi-curi berniaga.

Kunta Kinte pun jumpa tiga orang doktor muda Malaysia yang bekerja di Hospital Wanganui dan seorang pelajar perubatan yang sedang buat latihan amali di situ. Semuanya Melayu.

Kita berkumpul di kedai Mason makan bihun dan mi goreng, karipap dan minum teh tarik. Isteri Mason masak nasi lemak sambal bilis kelas dunia, macam nasi lemak bungkus yang Kunta Kinte makan di gerai tepi jalan di antara Muar dan Batu Pahat pada 1970-an dan 1980-an – asli dan authentik.

Macam juga pelajar pasca ijazah yang Kunta Kinte jumpa di Adelaide, Australia, doktor-doktor muda kita tu nak tahu apa harapan masa depan mereka bila mereka balik ke Malaysia.

Di Adelaide, Kunta Kinte jumpa pelajar ‘post-graduate’ tu di restoran ‘The Swingging Bowl’ atau dalam bahasa Melayu Restoran Mangkuk Ayun milik seorang Melayu bernama Azam. Tapi macam Mason, dia pun dah jadi pemastautin tetap Australia.

Nampaknya betullah macam Hang Tuah kata, takkan Melayu hilang di dunia. Melayu di Australia dan New Zealandlah. Melayu-Melayu yang Kunta Kinte jumpa di negara-negara lain di dunia pun lebih kurang macam tu. Mereka berjaya sebab tekun bekerja.

Lama dulu Kunta Kinte jumpa seorang jurutera Melayu di New York. Dia bekerja dengan Dewan Bandaraya New York selenggara jambatan-jambatan besi di bandar raya itu. Sekarang dia dah balik ke Malaysia.

Tapi apalah agaknya kedudukan sebenar dan nasib orang Melayu di bumi sendiri?

Betullah ada yang dah berjaya sampai boleh merantau dan hidup di mana-mana saja di dunia. Ada yang dah jadi jutawan berganda. Ada yang jadi doktor, jurutera, arkitek dan cendekiawan kelas dunia. Macam buah nyiur, mereka ini kalau jatuh ke laut jadi pulau.

Tapi majoriti orang Melayu masih terumbang-ambing di bumi sendiri. Masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hutang keliling pinggang, terjebak dengan bermacam gejala buruk, kurang usaha dan suka bazirkan masa.

Kunta Kinte duduk di pekan. Tanam sayur-sayuran dalam pasu dan atas tanah sekangkang kera. Itu pun tak putus petola, kacang panjang dan kacang botol, cabai Melaka (cili padi), kunyit, cekur, pudina, peria katak, selasih, kesum dan kucai.

Menitik air mata Kunta Kinte bila masuk kampung dan tengok orang kampung biarkan tanah yang luas keliling rumah ditumbuhi rumput, lalang dan semak-samun. Nak buat sambal pun kena naik motor ke kedai Cina beli cabai dan asam limau.

Kunta Kinte bela ikan keli, tilapia, patin dan baung dalam kolam konkrit belakang rumah sampai tak habis makan. Terima kasih kepada emak bapa Kunta Kinte yang didik Kunta Kinte supaya kerja kuat dan tak bazir masa serta syukur kepada Tuhan yang beri rezeki.

Sedih. Apa dah jadi dengan Melayu zaman Kunta Kinte di kampung dulu yang kerja siang malam, tak kenal penat lelah, tak pernah dengar subsidi, tapi tak pula susah sampai kena menyamun, mencuri dan putus asa hingga bunuh diri?

Kunta Kinte takut kalau orang Melayu kebanyakan tak tukar sikap, suka buang masa cakap politik, tak cucuk tanam tanah pusaka yang ada dan hasad dengki, yang tak hilang di dunia tu bukan Melayu di bumi sendiri, tapi Melayu yang pergi merantau di merata pelosok dunia cari makan dan cari kesenangan.

Kalau Melayu yang dibagi kuasa dan dibagi amanah salah guna kuasa dan pecah amanah kerana nak jadi kaya raya dengan cepat, masanya akan sampai (atau mungkin dah sampai pun) bila Melayu akan jadi perantau ibarat melukut di tepi gantang di negara sendiri. Wallahualam. 

kliK-Klik-Klik